APA ITU HIBAH TAKAFUL?

Hibah takaful atau hibah bersyarat digunakan oleh syarikat takaful untuk kaedah pembayaran tuntutan wang pampasan takaful apabila pemilik takaful meninggal dunia. Melalui takaful hibah ini, pembahagian wang pampasan takaful akan diberikan kepada penerima hibah yang dinamakan di dalam polisi hibah setelah kematian pemilik takaful. Ahli keluarga atau waris yang lain tidak boleh mempertikaikan harta yang dihadiahkan kepada penerima hibah tersebut.

Perancangan harta merupakan sesuatu yang amat digalakkan dalam Islam. Ia bagi memastikan waris atau keluarga yang ditinggalkan tidak akan menghadapi masalah terutamanya berkaitan kewangan. Selain itu, hibah juga bertujuan untuk mengelakkan pertelingkahan semasa urusan pembahagian harta pusaka dilakukan.

Oleh sebab itu, hibah merupakan salah satu instrumen yang digalakkan bagi membolehkan anda melakukan perancangan kewangan dan harta dengan baik.

Kenapa Perlu Ada Hibah Takaful?

1.       Pengganti Pendapatan

Kematian ahli keluarga yang merupakan tonggak utama keluarga merupakan suatu kehilangan yang boleh memberi kesan mendalam kepada ahli keluarga. Kehilangan sebegini secara tidak langsung menyebabkan waris hilang sumber pendapatan dan nafkah serta perbelanjaan bulanan untuk isteri, anak-anak atau ibu bapa menyara kehidupan akan terhenti.

Di sinilah kepentingan hibah takaful, waris yang ditinggalkan tidak perlu mencari kerja tambahan untuk menyara keluarga atau mengikat perut demi kelangsungan hidup. Bagaimana nak tahu berapa jumlah hibah yang anda perlukan? Secara asasnya, anda boleh ikuti formula berikut bagi mengetahui jumlah hibah yang sesuai dengan pendapatan anda

[Pendapatan Sebulan X 12 Bulan] X 5 Tahun = Nilai Hibah Takaful

Secara asasnya, hibah memainkan peranan dan kelebihan yang tersendiri. Wang yang dihibahkan boleh digunakan oleh waris untuk perbelanjaan kehidupan buat sementara sebelum waris mencari sumber pendapatan lain. Oleh sebab itu, anda perlu rancang kewangan anda dengan baik.

Dengan wang pampasan hibah takaful ini, waris anda boleh melaburkan semula ke dalam pelaburan yang bersesuaian untuk menjamin pendapatan berterusan.

2.       Penyelesaian Hutang

Islam sangat menuntut penyelesaian hutang meskipun setelah kematian. Oleh sebab itu, ia menjadi perkara utama yang diselesaikan sejurus selepas kematian. Jumlah hutang yang kecil mungkin boleh dilangsaikan oleh waris. Namun begitu, ia menjadi masalah sekiranya melibatkan komitmen hutang yang lebih besar seperti hutang perniagaan, pinjaman rumah, kereta, peribadi dan sebagainya.

Sudah semestinya situasi sebegini boleh membebankan waris. Meskipun anda mungkin beranggapan banyak lagi ikhtiar lain yang boleh dilakukan seperti:

          Keluarkan wang simpanan dari bank, ASB atau unit amanah (unit trust);

          Jual kereta, jual rumah atau apa-apa sahaja harta yang anda miliki; atau

          Minta bantuan daripada ahli keluarga yang lain.

Namun begitu, kita semua tahu bahawa perkara ini bukanlah suatu perkara yang senang untuk dilakukan. Ini kerana;

          Apa-apa aset tunai, rumah pertama atau kereta yang anda miliki akan dibekukan oleh pihak bank;

          Pindah milik (tukar nama geran tanah) atau proses jual beli aset si mati memerlukan surat kuasa daripada mahkamah;

Anda mungkin tidak dapat jual hartanah atau harta benda pada harga yang sepadan kerana terdesak untuk mendapatkan wang dalam tempoh yang singkat.

Oleh sebab itu, hibah takaful merupakan jalan terbaik dalam memastikan kehilangan anda tidak menyukarkan ahli keluarga atau waris dengan hutang yang ditinggalkan. Waris dapat menggunakan wang yang anda tinggalkan melalui hibah ini untuk melangsaikan semua hutang yang anda ada dan menggunakan lebihan untuk meneruskan kehidupan seperti biasa buat sementara waktu.

3.       Penerima Mutlak, Tidak Boleh Dipertikai

Berbeza dengan wasiat dan pembahagian harta pusaka, hibah takaful dibuat atas dasar kasih sayang tidak kira dalam bentuk wang tunai atau harta benda tanpa mengharap sebarang bentuk balasan. Dalam erti kata lain, penama merupakan pemilik mutlak dan tidak boleh dipertikaikan. Ia sekali gus dapat mengelakkan persengketaan atau perebutan harta yang ditinggalkan dengan ahli keluarga yang lain.

4.       Proses Tuntutan yang Mudah

Selain itu, tuntutan hibah takaful juga dilakukan dengan mudah tanpa melibatkan proses tuntutan yang rumit. Hibah takaful boleh dikategorikan sebagai aset mudah cair. Ini bermaksud, proses tuntutan boleh dilakukan dengan lebih cepat dan tidak memakan masa yang lama. Anda tidak perlu melantik peguam atau pihak ketiga untuk menguruskan proses pembahagian ini bagi pihak anda.

Oleh sebab hibah merupakan salah satu bentuk hadiah, penerima akan menerima manfaat 100 peratus tanpa sebarang penolakan. Malah, ada juga syarikat insurans yang turut menawarkan manfaat tambahan kepada waris seperti manfaat ihsan sebanyak RM2,000 sekiranya peserta meninggal dunia.

5.       Dana Pendidikan Anak-anak

Sudah menjadi tanggungjawab anda sebagai ibu bapa untuk menyediakan pendidikan yang terbaik dan berkualiti untuk anak-anak. Namun begitu, kos pendidikan yang semakin meningkat saban tahun menyukarkan ibu bapa untuk menghantar anak-anak melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Dengan hibah takaful, anda boleh menyediakan perbelanjaan yang mencukupi untuk menanggung kos pendidikan anak-anak meskipun anda sudah tidak bersama mereka pada ketika itu.

Hibah takaful secara asasnya memainkan peranan penting dalam melindungi ahli keluarga atau waris apabila berlaku kehilangan. Anda juga boleh melengkapkan hibah takaful dengan perlindungan penyakit kritikal yang menyebabkan anda hilang punca pendapatan buat sementara atau selamanya.

Hibah takaful asasnya hanya dapat dituntut sekiranya pemilik takaful meninggal dunia. Tetapi jika anda melengkapkan hibah takaful anda dengan perlindungan penyakit kritikal, anda boleh menuntut wang pampasan takaful itu sendiri sebagai pengganti pendapatan anda yang telah tiada.

Saya yakin ANDA LEBIH BIJAK membuat pilihan demi KELUARGA TERSAYANG. Anda boleh pilih untuk menyimpan lebih awal SEMASA SIHAT sebelum jatuh sakit dengan menyimpan dan menabung di AIA dan memiliki JAMINAN PERLINDUNGAN KEWANGAN buat keluarga atau diri anda jika ditimpa musibah.

Buatlah simpanan 5-10% sahaja daripada pendapatan anda untuk TABUNG KECEMASAN bersama AIA